Sunday, October 27, 2013

... Selamat menghadapi ujian esok.

Salam pelajar-pelajar H1 dan H2
 
Salah satu topik karangan yang sering  Cg lihat diperkatakan ialah peranan toleransi dalam mewujudkan keharmonian kaum. Mungkin Cg cuba memberi perspektif Cg lewat post ini.

Topik : Toleransi mewujudkan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum. Bincangkan.
 
Cg sarankan panduan berikut:
 
Permulaan:
Toleransi ialah satu sikap yang mulia. Lewat sikap ini kita terima hakikat perbezaan manusia. Dengan adanya sikap ini kita dapat hidup bersama. Hari ini kehadiran sikap ini menjadi lebih genting lagi kerana kebanyakan negara memang terdiri daripada kaum-kaum yang berbeza.
 
 Isi:
1.  Toleransi mewujudkan kesediaan untuk menerima perbezaan. Manusia hidup dengan fahaman dan amalan yang berbeza. Perbezaan ini wujud kerana faktor agama dan budaya. Perbezaan ini menimbulkan kelainan dalam cara hidup. Jadi salah satu panduan untuk menimbulkan kerukunan dalam kehidupan manusia ialah memasyarakatkan nilai toleransi. Dengan lain perkataan, dengan toleransi kita boleh menerima kehadiran orang lain.


2.  Toleransi menimbulkan usaha konkrit untuk hidup bersama. Masyarakat memikirkan aktiviti yang boleh dilaksanakan bersama. Faedah dari usaha bersama ini akan dikongsi. Tidak semua kaum dalam setiap negara mempunyai kekuatan yang sama. Jadi peluang serta kebajikan setiap kaum harus diperhatikan. Langkah ini memerlukan toleransi yang tinggi.

3.  Namun toleransi sahaja tidak cukup untuk mewujudkan keharmonian kaum. Isyarat yang jelas terhadap objektif ini harus diberikan oleh pihak yang berkuasa. Keharmonian kaum harus dijadikan matlamat utama dalam pembangunan negara. Kerana tanpanya negara boleh menjadi huru-hara. Negara yang rapuh perhubungan kaumnya akan digugat oleh pelbagai masalah ekonomi dan sosial.

4.  Undang-undang yang menggaris perhubungan kaum juga perlu diadakan.
Manusia cenderung bertindak mengikut kepentingan sendiri. Mereka mahu merebut segala peluang yang ada. Situasi begini harus dipantau. Hak semua kaum harus diambil kira. Tindakan keterlalauan juga perlu dikawal. Contohnya penghinaan terhadap budaya sesuatu kaum boleh menimbulkan rasa kurang senang. Sudah tentu ini akan menggugat perhubungan kaum.


 
 
Kesimpulan.
Toleransi memang penting dalam mengukuhkan perhubungan kaum. Sikap ini perlu diwujudkan dengan cara yang bijaksana. Langkah awal tentulah dengan mengenali dan memahami paradigma dan amalan setiap kaum. Kata peribahasa kita, "Tak kenal, maka tak cinta." 

Cg harap perspektif Cg ini dapat membantu jika berhadapan dengan topik ini. Bagi pelajar-pelajar H1 "Selamat menjalani ujian esok."




Sunday, October 13, 2013

Rasa kepedulian - nilai yang harus bertahta di setiap jiwa

Salam pelajar-pelajar H1

Nampaknya kita masih berbicara tentang nilai juga. Kali ini kita akan mengupas konsep rasa kepedulian. Secara ringkas, Cg fikir, rasa kepedulian membawa maksud ambil tahu atau ambil berat. Istilah sekarang menunjukkan rasa empati.

Rasa kepedulian ini memang harus kita junjung dalam kehidupan kita. Terdapat banyak kesenjangan hari ini . Dewasa ini jurang antara golongan kaya dan miskin kian melebar. Keadaan ini telah menghakis banyak sifat-sifat yang mulia.

Contoh-contohnya terdapat di sekeliling kita. Di Amerika Syarikat, jentera pemerintahan ditutup kerana penentangan terhadap 'Obamacare'. Kita tidak terfikir bagaimana golongan kaya boleh menentang 'Affordable Healthcare Act' - suatu skim insurans yang memberi perlindungan kesihatan kepada golongan miskin.

Di negara matahari terbit, ada seorang burokrat yang memanggil golongan warga senja 'old coots and hags' dan menyuruh mereka 'cepat-cepat mati' (laporan Straits Times) semata-mata kerana menentang pembinaan semula daerah Fukushima yang dilanda tsunami besar. Negara yang terkenal kerana adabnya kini mula luntur budi bahasanya!

Apakah kebaikan yang boleh kita raih daripada mentahtakan rasa kepedulian di dalam diri kita?

Cg rasa ada tiga kebaikan:

Pertama. Rasa kepedulian melahirkan kesediaan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.
 
Kedua. Rasa kepedulian menyedarkan kita tentang keperluan melestarikan alam sekeliling kita.


Ketiga. Rasa kepedulian membuat kita terus mempertahankan nilai-nilai yang baik dalam budaya kita.

Kata Mark Twain penulis zaman silam yang cukup terkenal "Kebaikan ialah bahasa yang boleh didengar oleh yang tuli dan boleh dilihat oleh yang buta."

Namun Cg fikir rasa kepedulian dengan sendirinya kadangkala tidak berhasil membawa perubahan paradigma. Jadi tindakan tegas daripada pemerintah sangat-sangat diperlukan.

Untuk tugasan pagi ini, buatlah karangan berikut.

"Rasa kepedulian amat penting dalam membantu menangani masalah sosial. Sejauh manakah kamu setuju dengan pernyataan ini?"


Senyum pagi Isnin



Sekadar peringatan. Jangan lupa menunjukkan bagaimana rasa kepedulian membantu menangani masalah sosial.


Selamat membuat tugasan ini.


Imej diambil dari Google



Saturday, October 5, 2013

Sekadar Interlude ...

Salam pelajar-pelajar H1

Ada dua perkara yang akan kita buat pagi Isnin ini ...

Pertama. Nikmatilah persembahan dari kumpulan pemuzik yang berbakat ini. Cg terlihat persembahan ini sewaktu melungsuri secara santai blog-blog yang sering Cg lawati. Mudah-mudahan menghiburkan ... Maklumlah bakal menghadapi ujian akhir.



Kedua. Buatlah tugasan yang sudah diedarkan oleh Amber. Baca dengan tenang dan jawablah seperti yang dikehendaki oleh soalan.


Ketiga. Renungkan kata-kata berikut dan ambil iktibar.

1.   Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. (Peribahasa Melayu)


 

2.   Perjalanan beribu batu, bermula dengan langkah pertama. (Peribahasa Cina)

 

3.   "Kita tidak akan pernah tahu hasil daripada setiap tindakan kita, tetapi kalau kita tidak berbuat apa-apa, maka kita tidak akan melahirkan sebarang hasil."(Mahatma Ghandi)

Selamat membuat tugasan ini.


1. Imej diambil dari Google

2. klip video diambil dari Youtube


Tuesday, October 1, 2013

Teknologi dan nilai murni

Salam Fatin, Khairiah dan Namirah


Hmm ... Apa kata, kalau kali ini kita bincang-bincang tentang teknologi pula. Hari ini teknologi berkembang dengan begitu pesat sekali sehingga ia menjadi satu ciri khusus abad ini. Nampaknya tidak ada bidang yang tidak tersentuh oleh teknologi.

Cg rasa ... itu membawa kita kepada satu persoalan penting. Dapatkah teknologi mengangkat harkat kemanusiaan? Atau dapatkah manusia menguasai teknologi yang diciptanya sendiri?

Kadang-kadang kita lihat situasi yang sebaliknya berlaku. Teknologi menguasai manusia! Kita menjadi 'budak' kepada teknologi. Atau kadangkala kita menjadi terpinggir!

Alahai ... Kadang-kadang kita kewalahan dibuatnya.



Teknologi sudah begitu canggih sehingga berupaya melakukan banyak tugas manusia. Kalau itu terus berlaku, apa akan jadi kepada kita, ya?

Untuk terus membincangkan topik ini Cg harap Fatin, Khairiah dan Namirah dapat membuat satu karangan mengenai tajuk berikut.

Teknologi menghakis nilai-nilai murni. Bincangkan.

Cg sarankan isi-isi berikut sebagai panduan. Namun Fatin, Khairiah dan Namirah boleh mengutarakan isi-isi lain yang difikir relevan.

1. Sudut pandangan yang menyatakan persetujuan
  • Teknologi menghakis nilai kerjasama - melahirkan persaingan sengit
  • Peribahasa kita "Bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing."

  • Teknologi merendahkan nilai tenaga buruh - memberi ganjaran yang tinggi kepada individu yang memiliki kemahiran tinggi
  • "Menghakis cara hidup yang mengutamakan falsafah ini "Bagai aur dengan tebing."

  • Kata Henry David Thoreau, seorang penulis terkenal, "Manusia sendiri diperalatkan oleh alat-alat yang mereka cipta."
2. Sudut pandangan yang lain yang berbeza dengan pandangan di atas
  • Teknologi menyebabkan manusia mengutamakan kecekapan dalam melaksanakan tugas.

 
  • Teknologi menggalakkan manusia untuk menghargai kreativiti dan inovasi - lalu membawa banyak kemudahan dalam kehidupan manusia.
 
 
Semoga visual dan nukilan yang diberikan dapat mencetus idea-idea yang lain.


Selamat menjalankan tugas ini.


Imej diambil dari Google